Artis nasyid Kelantan akan muncul suatu hari nanti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, tidak mustahil akan ada kumpulan atau artis nasyid yang akan muncul dari bumi Kelantan suatu hari nanti.

- Advertisement -

Menurutnya, perkembangan itu dapat dilihat dari pertandingan nasyid yang dianjurkan sempena program Sambutan Hari Anak Muda Kelantan, 2024 yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV selama tiga hari bermula Khamis lepas.

Jelasnya, perkara itu dinyatakan sendiri ketua juri pertandingan nasyid, Fadzli Aziz yang juga bekas anggota Kumpula Nasyid UNIC, petang semalam.

“Alhamdulillah kerajaan negeri bersyukur dan berbangga di atas kejayaan yang dicapai setiap anggota kumpulan yang bertanding,” katanya selepas pertandingan nasyid, petang semalam.

Pada pertandingan itu, Kumpulan Nasyid Shoutul Huffaz dari Maahad Tahfiz A-Quran Wal Qiraat (MTAQ) muncul johan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500.

Naib johan dimenangi Shoutul Muhammadi dari Maahad Muhammadi Lelaki dengan membawa pulang hadiah sebanyak RM2,000 sementara Shotul Nida’ dari Maahad Ahmadi Tanah Merah, di tempat ketiga dengan hadiah RM1,5000.

Kumpulan Shoutul Huffaz sekali lagi berjaya menguasai pentas apabila diumumkan sebagai persembahan terbaik dengan mengalahkan 12 kumpulan yang lain.

Wan Muhammad Hanif daripada Kumpulan Shoutul Jihad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 pula muncul penyanyi solo terbaik.

Sementara itu, Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, sebanyak 16 acara dipertanding dan dipersembahkan pada majlis sambutan itu.

Menurutnya, program yang berlangsung selama dua hari itu bermula 5 hingga 6 Julai (malam tadi) turut disertakan dengan Pelancaran Liga Elit DUN bagi tahun 2024.

“Banyak acara yang diadakan, antaranya pertandingan memasak, pertandingan mewarna, pertandingan biri-biri jangok, sepakan penalti, e-sport dan sebagainya.

“Pada pendapat saya, dengan tema Anak Muda Sejahtera, kita dapat melihat sambutan kali ini bersifat komprehensif dan mampan yang mencakupi pengertian yang paling tinggi dalam hidup sebagai seorang yang beragama Islam iaitu kehidupan yang mendapat keredaan,” katanya.

Antara program mendapat sambutan hangat anak muda, belah toko bundle yang menjadi rebutan pengunjung.

Orang ramai berpeluang mendapatkan baju bundle berjenama yang dibekalkan oleh penganjur, – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -