Tidak henti munajat mohon kemenangan PN

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kumpulan petugas pilihan raya dalam kalangan wanita PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat tidak menghentikan munajat mereka di bangsal-bangsa panas berhampiran pusat mengundi.

- Advertisement -

Aktiviti munajat tersebut mengisi rutin petugas-petugas PERIKATAN NASIONAL di samping rayu undi di mana mereka mengisi dengan bacaan Yaasiin, zikir dan berdoa.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ketua Muslimat PAS Melaka, Kintan Man dan beberapa orang pimpinan lagi antara dilihat dalam tinjauan di Sekolah Kebangsaan Jawi bagi PRK DUN Sungai Bakap ini.

Pusat mengundi tersebut yang terletak di bawah Unit Daerah Mengundi (UDM) Ladang Sempah di bawah tanggungjawab negeri bantu Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Cuaca baik setakat sebelah pagi membolehkan pengundi-pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK ini.

PRK ini melibatkan sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka dengan proses pengundian yang bermula jam 8 pagi dan bakal berakhir jam 6 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi sebaik pengiraan undi selesai.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PERIKATAN NASIONAL Abidin Ismail (Abang Abidin)  dengan calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin.

Pilihan raya ini diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff dari PERIKATAN NASIONAL pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Seramai 57 orang terdiri daripada anggota polis pula telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -