
NIBONG TEBAL: Sambutan masyarakat DUN Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 ini terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat sangat luar biasa.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, ini jika dibandingkan dengan suasana yang dilihat pada PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) yang berlaku sebelum ini.
“Saya lihat perbezaan bila saya turun berkempen di PRK Kuala Kubu Baharu berbanding di Sungai Bakap ni, saya ingat memang jauh-jauh sangat perbezaan.
“Ia terutama dari segi sambutan masyarakat terutama anak-anak muda dalam program-program ceramah ataupun turun ke rumah, sambutannya saya rasa jauh beza dan di sini lebih lebih mengujakan,” katanya.
Tambahnya, lautan manusia menghadiri ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL malam tadi membuktikan tahap sokongan rakyat yang padu pada parti gabungan itu.
“Sebenarnya saya sangat teruja malam tadi sebab saya terpaksa jalan kaki. Jalan raya sesak kerana terlalu banyak kereta. Kalau naik kereta mungkin tak sampailah.
“Saya lihat banyak motosikal yang ditunggang anak-anak muda datang. Kalau yang naik motor biasanya mesti orang tempatan. Kalau yang naik kereta ni biasa petugas-petugas luar,” katanya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu turut mengimbau pengalaman pernah menjadi pengurus di Ladang Batu Kawan berhampiran sebelum menyerahkan kawasan itu kepada PDC untuk dibangunkan pada tahun 1991.
“Saya sempat juga bertemu dengan bekas-bekas pekerja saya dan mereka menyatakan insya-Allah kali ini mereka akan memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui di Padang Flat Mutiara Jaya, Simpang Ampat, di sini, dalam program Perlawanan Persahabatan Kabaddi bersama masyarakat India di situ.
Program tersebut turut menampilkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pengerusi DHPP Pusat, N Balasubramaniam.
Dua pasukan iaitu ‘Team MB Kedah’ dan ‘Sungai Bakap Indian Youth’ berentap dalam perlawanan Kabaddi yang mirip permainan ‘galah panjang’ dalam budaya Melayu itu.
“Hari ini saya sempat bersama dengan masyarakat India dalam program Kabaddi. Kalau saya dulu waktu saya bekerja di estet kami panggil ‘sadu ghudu’. Jadi bila kita main tu pemain tu akan sebut ‘sadu ghudu’. Ia lebih kurang macam kita main dalam panjang.
“Selagi mana masyarakat India mahu turun dalam sukan masyarakat bersama dengan kita, bererti ada suatu signal yang jelaslah bahawa masyarakat India perlahan-perlahan sudah bersama kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024











