
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis bertekad menghidupkan kembali laluan feri Kuala Perlis-Satun dengan memohon secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuka semula operasi Terminal Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kedua-dua destinasi tersebut.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, permohonan itu berikutan permintaan rakyat setempat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Katanya, pembukaan semula laluan itu bukan sekadar untuk kemudahan perjalanan tetapi dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi tempatan.
“Dulu, pintu masuk Perlis melalui Kuala Perlis-Satun penuh dengan kemeriahan bot panjang dan pelbagai aktiviti. Kami mahu kembalikan suasana itu.
“Langkah pertama adalah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, Abu Bakar melihat pembukaan semula operasi feri berkenaan mampu melonjakkan industri pelancongan Perlis.
Menurutnya, jika perkhidmatan feri dan ‘Roll On Roll Off’ (RORO) ke Satun beroperasi semula, lebih 200 orang dijangka menggunakan perkhidmatan itu setiap hari, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Selain faktor ekonomi, Mohd Shukri menekankan bahawa pembukaan semula laluan ini akan memudahkan perjalanan pengunjung dari Satun ke Perlis yang hanya mengambil masa sekitar 30 minit melalui jalan laut berbanding lebih satu jam melalui jalan darat.
“Bayangkan betapa mudahnya saudara mara dari kedua-dua negara untuk bertemu. Ini bukan sahaja tentang pelancongan, tetapi juga hubungan kekeluargaan,” katanya lagi.
Beliau turut menambah bahawa pihak Thailand tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan tersebut.
“Bulan Ogos nanti saya akan bertemu dengan Gabenor Satun. Kami berharap langkah ini akan menarik lebih ramai pelancong, terutama sekali menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs),” katanya. HARAKAHDAILY 4/7/2024











