
NIBONG TEBAL: Impian Pakatan Harapan (PH) mahu merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini dianggap berdepan dengan laluan berliku.
Biarpun PKR menguasai DUN Sungai Bakap sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, namun kawasan itu merupakan kubu tradisi Umno sejak berzaman.
Ekoran itu akar umbi Umno mendesak calon daripada parti itu diberi ruang pada PRK tersebut, namun ditolak pimpinan PH biarpun PKR tiada calon berkaliber.
Sumber dalaman Umno memberitahu protes di peringkat cawangan Umno di DUN Sungai Bakap tidak mampu disembunyikan lagi memandangkan PKR mengetengahkan calon yang tidak dikenali.
Katanya, Dr Joohari Ariffin biarpun anak tempatan, namun tidak ada pengalaman politik.
“Biarpun mempunyai pendidikan tinggi sehingga PhD, namun pengalaman politik tidak ada sehingga memberi kelebihan kepada calon lawan,” katanya di sini.
Sebelum ini, dilaporkan terdapat gesaan akar umbi Umno Nibong Tebal mahu BN bertanding di PRK Sungai Bakap.
Malah, sebuah portal berita melaporkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang mendakwa ada permintaan akar umbi Umno bertanding PRK Sungai Bakap sebagai balasan sokongan Umno kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 calon Perikatan Nasional (PN), Nor Zamri Latiff menewaskan wakil PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
DUN Sungai Bakap berada dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang diwakili Fadhlina Sidek. Manakala dua DUN lagi lagi iaitu Sungai Acheh dimenangi Umno dan DUN Jawi, H’ng Mooi Lye (DAP).
Sementara itu, pemerhati politik tempatan mendakwa ramai veteran Umno enggan keluar mengundi pada Sabtu ini sebagai protes terhadap calon PKR yang tidak dikenali ramai.
Katanya, konflik dalaman Umno-PH tidak dapat disembunyikan lagi biarpun Ketua Umno Nibong Tebal sebelum ini menyebut menghormati rakan gabungan PH-BN.
“Biarpun dinafikan berlaku retak antara Umno dan PH, namun perkara yang berlaku di bawah berbeza kerana protes tetap berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











