
KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) belum lagi membincangkan logo parti politik yang akan digunakan PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri 17 Ogos ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, penggunaan logo ‘bulan’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya memberi kemenangan kepada PN.
Katanya, setakat ini belum ada sebarang perbincangan menggunakan mana-mana logo parti yang bernaung di bawah PN untuk diterima pakai pada PRK tersebut.
“Jika ikut kaedah lepas, logo yang digunakan di Kelantan ialah logo bulan (PAS).
“Pada PRU lepas kita telah membuat tindakan yang tepat, berkesan serta diterima semua rakyat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos, penamaan calon 3 Ogos, manakala undi awal 13 Ogos.
PRK tersebut diadakan berikutan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti dengan menyokong pihak lawan.
Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, keputusan berkaitan logo akan diputuskan pimpinan PN.
“Kita serah kepada kepimpinan tertinggi parti, kita terima sahaja, jadi tak usah buat apa-apa spekulasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











