Laut China Selatan: Negara perlu tegas pertahan kedaulatan

Zakri Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyatakan pendirian yang tegas terhadap usaha negara China yang sedang berusaha untuk memperkukuhkan kuasa maritim di Laut China Selatan (LCS).

- Advertisement -

Zakri Hassan (PN-Kangar) berkata, China juga turut menghampiri kawasan luar pantai Sarawak bagi tujuan tersebut.

“Kalau kita lihat balik bilangan penduduk China sekarang ni melebihi 1.4 bilion yang mendorong kebanyakan negara-negara menjalin hubungan diplomatik yang intim dengan negara China sejak zaman-berzaman.

“Jadi begitu juga dengan Malaysia selepas lawatan Perdana Menteri ke China seterusnya lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China, memang nampak dari segi keakraban antara Malaysia dan China,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kedua menurutnya, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani isu kehadiran kapal-kapal perang China di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dalam jawapannya berkata, beliau turut serta dalam lawatan rasmi tersebut ke negara China.

Katanya, perjumpaan dan perbincangan tersebut telah diadakan antara kedua-dua buah negara dalam keadaan yang mesra.

“Memang ada (perbincangan), menyentuh soal-soal serantau dan juga antarabangsa termasuk juga isu-isu yang sedang diteliti bersama oleh kedua-dua buah negara.

“Dan kita memang tegas dari mula bahawa kita mempertahankan kedaulatan kita. Dan kita akan menggunakan platform-platform yang sedia ada untuk kita mengadakan sebarang rundingan dengan pihak China.

“Dan kita memang bertegas, kita tidak akan berkompromi soal kedaulatan negara tetapi mekanisme yang sedia ada kita akan gunakan untuk kita meneruskan perundingan, perbincangan terutamanya melibatkan Laut China Selatan,” jawab beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -