
NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan sikap yang amat menjengkelkan apabila membawa pembohongan nyata ‘di siang hari’ dan secara bersiri dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap.
Exco Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin membidas dakwaan bohong pihak PH kononnya masalah air di Sungai Bakap telah selesai, sedangkan Kerajaan Negeri mengumumkan empat projek infrastruktur bekalan air.
Bagaimanapun kemukanya, empat projek tersebut berdepan masalah kerana terdapat unsur penyelewengan peruntukan berjumlah RM24.6 juta di mana laporan polis mengenai isu itu telah dibuat oleh Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN).
Beliau turut membidas Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer daripada DAP kerana berbohong dengan mendakwa ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff tidak membangkitkan masalah bekalan air di Persidangan DUN.
Sedangkan tegasnya, perkara tersebut boleh dilihat dalam hansard DUN Pulau Pinang di mana kerana tekanan disuarakan Abang Zam telah menyebabkan kerajaan menyegerakan satu daripada empat projek yang berdepan skandal itu.
Lebih dikenali sebagai Che’guBard, beliau turut menempelak pembohongan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli yang menuduh masalah air di Sungai Bakap disebabkan pengabaian bekas Menteri Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
Begitu juga kecamnya terhadap pembohongan Menteri Ekonomi yang turut dijuluki sinis sebagai ‘Pakar Formula’ itu ekoran dakwaan dalam kempen beliau kononnya Unit Daerah Mengundi (UDM) PN di Sungai Bakap dan Sungai Duri ditutup.
“Hentikan pembohongan demi pembohongan ini wahai wang Yang Berhormat Rafizi, ini hanya merugikan rakyat. Sebenarnya kerana kamu hadir atas sifat taraf Menteri, tetapi mulut kamu celupar persis badut sarkas yang menyalak tanpa hala tuju,” ujarnya.
Che’guBard berkata, beliau hairan seorang Menteri mempunyai mentaliti yang sangat tidak wajar dengan tarafnya di mana dengan ‘selamba’ melakukan penipuan atau mungkin juga sebenarnya Rafizi ditipu oleh pemberi maklumat.
“Begitulah hujah-hujah dan serangan kempen Pakatan Harapan. Penuh penipuan dan fitnah,” ujarnya turut menyifatkan serangan Rafizi kepada Tuan Ibrahim sebagai petunjuk tahap pemikiran Menteri tersebut.
Badrul yang juga Presiden Pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA) hadir ke PRK N.20 DUN Sungai Bakap sebagai Penyelaras Bantuan Luar Kawasan dengan memberi sokongan kepada Jentera PN.
“Saya tak pasti (masalah dia) tapi ini kenyataan pengakuan Rafizi yang dia adalah tak cerdik, dia bukan bodoh. Tak cerdik kerana Kerajaan Pusat yang jaga aset air. Tapi Kerajaan Negeri yang running the operation,” jelasnya.
Beliau turut membidas pembohongan PH kononnya calon mereka akan menyelesaikan isu air di Sungai Bakap, tetapi hakikatnya tiga penggal diwakili seorang lulusan agama dari luar negara dan seorang doktor perubatan daripada PKR, masalah tetap begitu.
Sebaliknya tegas beliau, masalah tersebut diperjuangkan Abang Zam selepas memenangi kerusi tersebut mewakili PN dan kini kesinambungan menyuarakan isu itu akan diperjuangkan calon PN, Abidin Ismail atau Abang Abidin. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











