Kaji semula kem TLDM jauh dari sempadan Malaysia-Thailand

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melakukan kajian semula terhadap kedudukan strategik kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jalan Bukit Malut, Langkawi yang dianggap jauh dari sempadan Malaysia dan Thailand.

- Advertisement -

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, lokasi tersebut dilihat terlalu sukar bagi pihak berkuasa untuk mengawal perairan negara yang terdedah terhadap sebarang kemungkinan berlaku pencerobohan.

Beliau berkata, sedangkan masih wujud kawasan yang lebih sesuai dan berhadapan dengan kawasan perbatasan antarabangsa sekali gus memudahkan pemantauan dan pemeriksaan keselamatan dilakukan pada setiap masa.

“Minta Kerajaan, Kementerian Pertahanan menyatakan hasrat untuk mengkaji semula lokasi kem-kem tentera seperti TLDM dan lain-lain terutamanya di Langkawi yang dilihat agak jauh daripada sempadan Malaysia-Thailand.

“Sedangkan masih ada tanah-tanah yang kosong berhadapan dengan sempadan negara kita dan Thailand yang dilihat lebih strategik mudah pantau keselamatan,” katanya dalam soalan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penubuhan Markas Wilayah Laut 3 dilakukan bagi memenuhi strategi pertahanan maritim negara selain memperkukuhkan perairan barat Semenanjung Malaysia.

“Ini bagi menangani sebarang ancaman yang mampu menggugat kedaulatan dan keselamatan perairan negara serta menangani sebarang bentuk ancaman dan pencerobohan pendatang asing dari kawasan utara seperti dari Teluk Andanam.

“Justeru kita tiada perancangan untuk memindahkan atau membuat pembangunan baharu pangkalan TLDM di kawasan lain, malah keupayaan pengoperasian kemudahan markas ini akan dipertingkatkan dan ditambah baik semasa ke semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -