Apa model untuk seragam kanun jenayah syariah negeri

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) meminta kerajaan menyatakan langkah menyeragamkan undang-undang jenayah syariah negeri selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 2019.

- Advertisement -

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menyatakan model digunakan sebagai panduan dalam menggubal sistem perundangan bagi aspek kesalahan jenayah syariah agar selari antara negeri-negeri.

Menurutnya, ada pengamal undang-undang mendakwa pembatalan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 sebelum ini bakal memberi kesan keabsahan enakmen yang sama di negeri-negeri lain.

Beliau menyatakan demikian semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Kamal dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah di kesemua negeri.

Beliau juga ingin tahu adakah sudah wujud model undang-undang yang boleh dijadikan asas dan panduan kepada negeri-negeri dalam menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah yang seragam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan sedang menyeragamkan undang-undang syariah melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK).

Beliau berkata usaha itu bagi menyeragamkan sistem perundangan Islam antara negei dan pengharmonian antara syariah dan sivil yang dikelola Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi penyelaras.

Selain itu kerajaan juga sedang membuat draf pindaan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan untuk dijadikan model dan panduan terhadap pelaksanaan enakmen jenayah syariah di negeri.

“Walau bagaimanapun kerajaan masih menunggu hasil laporan jawatankuasa khas mengkaji kompetensi negeri mengubal memandangkan terdapat masalah bidang kuasa persekutuan dan negeri sebagaimana dalam kes Nik Elin,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -