Bukti Kerajaan PH-BN tidak pandai memerintah

Rafizi Ramli dilihat secara tiba-tiba cuba merubah rentak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan mencabar PERIKATAN NASIONAL (PN) agar membentangkan prestasi, memandangkan PN menjuarai kempen dengan isu nasional.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar yang menindas rakyat dan kelemahan pentadbiran kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) membuktikan PH tidak pandai memerintah.

PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam satu kenyataannya berkata, rekod PH yang menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sejak 2008 bukan sahaja gagal menyantuni penduduk setempat dan menyelesaikan masalah rakyat Sungai Bakap, malah masalah-masalah yang muncul adalah sewaktu calon PH menjadi wakil rakyat. 

“Isu pemilikan rumah Taman Halaman Indah yang berlaku pada 2010 dan masalah air Mukim 5 Seberang Jaya Selatan, banjir kilat dan sebagainya.

- Advertisement -

“Taktik PH sebelum ini yang menyerang peribadi calon PN kerana menyembunyikan kelemahan dan kebobrokan yang ditinggalkan oleh wakil-wakil rakyat PH terdahulu gagal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah PN, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencuba merubah rentak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan mencabar PN bentang prestasi kerana PN menjuarai kempen dengan isu nasional. 

Menurutnya, seperti formulanya yang tidak dalam alam realiti, Rafizi lupa yang prestasi PH bukan sahaja gagal di peringkat nasional, malah juga di Sungai Bakap. 

“Sebaliknya cabaran Rafizi ini telah menepuk air di dulang, terpercik di muka sendiri kerana secara tidak langsung membuka pekung PH.

“Sadis, kempen jentera PH dilondehkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR sendiri sekaligus membuktikan masalah komunikasi dalam PH sangat kritikal.

“Ingatkan komunikasi jemaah menteri sahaja yang cacamarba, rupanya sehingga ke peringkat cabang. Jika ‘kepala’ yang berada di Putrajaya gagal, apakah ‘ekor’, calon PH di Sungai Bakap ini akan cemerlang?” soalnya.

PN dalam kenyataan itu turut menegaskan, calon dari PRK Sungai Bakap tiada pengalaman bergelumang dengan rakyat dan hanya sarat dengan idealism, apakah mampu menyambung legasi Abang Zam yang berjiwa rakyat?

“Maka, sudah terang lagi bersuluh kepada warga Sungai Bakap dalam membuat pilihan dalam PRK 6 Julai nanti. Sudah pastinya calon nombor dua PERIKATAN NASIONAL, Abang Bidin, penyambung legasi Abang Zam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

T

- Advertisement -