Selangor FC: PAS negeri sokong titah Sultan

Dato’ Dr Ab Halim Tamuri
- Advertisement -

KLANG: PAS negeri menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang dikenakan denda oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akibat tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih, Mei lalu.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, apa yang dilakukan oleh MFL terhadap Selangor FC adalah sesuatu yang tidak adil dan tidak sepatutnya berlaku, serta perlu dijadikan pengajaran.

Menurutnya, keputusan MFL untuk mengenakan denda terhadap Selangor FC, yang kemudiannya menyaksikan denda itu dikurangkan setelah mendapat murka daripada Sultan Selangor adalah sesuatu yang tidak profesional.

“Sudahlah tidak boleh main stadium sendiri, kena denda RM100,000, kena potong mata lagi. Pada saya ini pengajaran untuk kita, be professional dan biar buat keputusan itu yang profesional.

“PAS Selangor menyokong penuh Selangor FC. Memang Selangor FC kita sokong, apa juga tindakan yang akan dilakukan oleh pihak Selangor FC, saya menyokong penuh sebab saya ni penyokong tegar bola sepak negeri Selangor dan saya akan pastikan keadilan diberikan kepada Selangor FC,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri, di sini hari ini.

MFL baru-baru ini mengumumkan akan mengenakan denda terhadap Selangor FC sebanyak RM100,000, pemotongan tiga mata dalam liga dan larangan kemasukan penonton menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT pada 10 Mei lepas.

Denda itu bagaimanapun telah dikurangkan selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan yang dilakukan MFL serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -