Sekat peruntukan pembangkang warisan politik lapuk

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Perbuatan kerajaan bertindak menyekat peruntukan kewangan kepada wakil rakyat pembangkang merupakan satu amalan politik lapuk yang seharus dihentikan sama sekali.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas Presiden MUDA berkata, amalan tersebut merupakan legasi daripada kerajaan-kerajaan terdahulu di mana ia jelas bersifat zalim.

“Yang dah lepas kita tinggalkan dan kita mara ke hadapan. Di sinilah kalau betul-betul ingin memajukan negara. Begitulah caranya. Jangan kita meneruskan legasi yang lama.

“Harapan paling utama ialah kita membuka mata rakyat supaya desakan, rayuan kepada kerajaan itu akan akhirnya didengari,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Rembia, di sini, pagi semalam.

Beliau dalam program Larian ‘Langkah Muar’, bermula di Jambatan Muar petang Khamis lalu dan berakhir di Bangunan Parlimen, esok dengan objektif utama iaitu bagi menuntut hak Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang dinafikan peruntukan.

“Saya berharap ini sedikit sebanyak akan membuka hatilah sahabat-sahabat di pihak kerajaan untuk meninggalkan politik yang lama dan berikan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua kawasan parlimen.

“Itulah cara politik baru yang perlu kita angkat. Bukan meneruskan legasi politik lama yang akhirnya menghancurkan negara kita,” katanya.

Hakikatnya, tambah beliau, parti-parti Kerajaan Madani yang kini telah menjadi kerajaan pernah memperjuangkan peruntukan untuk pembangkang di dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke 15 lepas.

“Ia bukan sekadar manifesto semata-mata. Mereka dahulu yang melawan kezaliman ini. Mereka dahulu yang memanggil ini adalah perkara yang zalim, tidak adil.

“Jadikan peruntukan sebagai tebusan politik, rakyat susah akhirnya dihukum kerana warna politik. Mereka yang lawan kezaliman ini,” katanya.

Jelas beliau, itu jelas membuktikan bahawa mereka akur dan tahu bahawa ini merupakan salah satu bentuk kezaliman, kerana itu mereka seharusnya melakukan perubahan setelah berjaya menjadi kerajaan.

“Ini bukan tentang Syed Saddiq, ini bukan tentang Parlimen Muar semata-mata. Ini adalah supaya boleh ada usaha duo-partition di parlimen untuk menginstitusikan Akta Peruntukan Parlimen yang adil.

“Apabila kita buat perkara ini tak kira siapa pun yang membentuk kerajaan. Kena ingat politik ni dia seperti roda, hari ini di atas, esok kita di bawah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga pagi Jumaat atau dalam tempoh masa 24 jam, sebanyak RM54,000 sumbangan orang ramai telah berjaya dikutip melalui program ‘Langkah Muar’ itu. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -