
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya tidak terus memeningkan kepala Perdana Menteri (PMX).
“Kepada YB Rafizi, saya ingin menasihatkan untuk tidak terus memeningkan kepala PMX. Belajar beza tugas Persekutuan dan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ini susulan Menteri itu membangkitkan isu air pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Tuan Ibrahim turut melahirkan rasa simpati kepada PMX pada masa ini.
“Saya bersimpati dengan YAB Perdana Menteri pada masa ini. Betullah seperti yang disarankan oleh YB Alor Setar (Afnan Hamimi) dalam Parlimen baru-baru ini dan ia diakui oleh PMX, jemaah Menteri yang ada sekarang tidak kompeten. Cukup Menteri Ekonomi PHBN atau ‘Raja Formula’ sebagai contohnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar elok kiranya Rafizi ‘pecah kepala’ memikirkan bagaimana untuk membantu PMX menyelesaikan kemelut ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia.
Menurutnya, Rafizi boleh menggunapakai segala formula yang beliau bentangkan kepada rakyat sebelum ini.
“Timbul juga persoalan, adakah semua yang beliau buat ketika ini seolah-olah ingin mensabotaj ‘boss’ beliau, iaitu PMX agar rakyat terus marah kepada PMX? Hanya beliau yang tahu kebenarannya,” tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.
Beliau menjelaskan, isu air sebenarnya tidak perlu dipolitikkan.
Katanya, apa yang diutarakan oleh Menteri Besar Kedah adalah lebih kepada cadangan untuk membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Tidakkah dengan menerima pelawaan daripada Kerajaan Negeri Kedah yang bersedia menjual bekalan air bersih di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar bakal menyelesaikan isu air yang berlaku khususnya di Sungai Bakap dengan segera dan lebih praktikal?
“Atau selepas ‘rahsia’ isu air di Sungai Bakap ini bocor, YB Rafizi dan Kerajaan PH sudah terasa bahangnya akibat selalu menjadikan isu air ini sebagai modal politik?” ujarnya.
Menurut beliau lagi, dalam hal berkaitan air itu, Rafizi perlu tahu dan dapat membezakan tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan yang mana di bawah operator air kerajaan negeri.
Jelasnya, Kerajaan Persekutuan melalui Akta Perkhidmatan Industri Air (WASIA) 2006 (Akta 655), melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hanya memiliki aset-aset air manakala negeri pula akan terus menguruskan sumber-sumber air.
Selain itu, katanya pihak kerajaan negeri melalui pengkorporatan Syarikat Air Negeri akan terus menjalankan perkhidmatan air kepada rakyat.
Maka, jelas beliau lagi isu pengagihan dan bekalan air kepada rakyat di Sungai Bakap adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.
“Adapun jika beliau mahu membangkitkan soal bekalan air di Kelantan, ia disebabkan Kelantan yang sekian lama tidak mempunyai tempat takungan air (empangan),” katanya.
Beliau berkata, selepas berpuluh tahun keadaan itu berlaku, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional telah meluluskan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang yang bernilai RM1.3 bilion.
“Walaupun selepas peralihan Kerajaan Persekutuan pada akhir 2022, Alhamdulillah, projek ini dimaklumkan akan diteruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024











