Ada agenda wujud pelbagai jurang ke atas rakyat?

Menerusi rancangan Pembangunan Semula Bandar

- Advertisement -

AMPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam masa kurang dua tahun di bawah pemerintahan ketika ini telah menghadirkan pelbagai ‘kejutan’, demikian kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim.

- Advertisement -

Menurut beliau, sebelum ini telah berbangkit mengenai Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), diikuti tindakan untuk menyenaraikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Terkini katanya, KPKT mengumumkan berada di peringkat draf akhir Rang Undang-undang baharu yang akan dikenali sebagai Akta Pembaharuan Semula Bandar di mana dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan Oktober depan.

Beliau berucap pada Perbincangan Meja Bulat Pembangunan Semula Bandar ‘Peluang dan Cabaran’ anjuran Pusat Sumber Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS, di sini semalam.

“Disebut oleh Menteri KPKT, (seluas) 1,300 ekar tanah atau kawasan di dalam kawasan Bandar Raya Kuala Lumpur akan dibangunkan semula. Ini adalah satu kawasan yang luas di dalam kawasan bandar raya tersebut.

“Dan kita semua faham bahawa kebimbangan kita sejak daripada dulu lagi apabila tercetusnya peristiwa 13 Mei (1969) misalnya, antara punca yang dikenal pasti adalah berkaitan dengan masalah di dalam bandar.

“Masalah jurang jurang ekonomi dan juga jurang penguasaan khususnya di dalam kawasan bandar. Bagaimana sebelum ini dibimbangi hilangnya pemilikan dalam kalangan warga tertentu di dalam kawasan bandar.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang ini apabila Dasar Ekonomi Baru tidak lagi kelihatan semangatnya dilaksanakan di dalam dasar-dasar yang ada selepas itu. Sebelum ini pada tahun 2018 ada disebut antara lain Dasar Kemakmuran Bersama.

“Yang dilihat dilihat mempunyai spirit untuk merapatkan jurang antara negeri, antara wilayah dan semangat yang sama berkaitan jurang antara kaum,” ujar beliau dalam ucapan sebagai merasmikan program itu.

Tetapi menurutnya, kepimpinan yang ada di dalam Kerajaan Persekutuan ketika ini tidak lagi meletakkan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai satu dasar, tetapi menyusuli pelbagai tindakan yang membimbangkan.

Jelas Ahmad Amzad, kerajaan sekarang dikhuatiri menyamping dan menyisihkan agenda berkaitan dengan usaha ke arah merapatkan jurang-jurang yang wujud di dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Untuk kita membawa isu ini sebaik mungkin, tetapi saya yakin matlamatnya sama, untuk kita memastikan kepentingan kita terutamanya orang Melayu, orang Islam terjaga di dalam arus pembangunan yang sememangnya tidak dapat kita elakkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -