PAS rakam takziah pemergian Dr Syed Husin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menerima berita pemergian Prof Dr Syed Husin Ali awal pagi ini dengan hati yang berat dan sedih, ujar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Katanya, PAS percaya perasaan yang sama turut dikongsi oleh banyak pihak lain atas jasa, sumbangan dan perbadi mulia Almarhum sepanjang hayatnya baik sebagai ahli akademik, pemikir, aktivis sosial, ahli politik, penulis mahupun sebagai seorang kawan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau merupakan teladan unggul seorang patriot yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan yang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya PAS merakamkan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sanak saudara Almarhum atas pemergian itu.

“Semoga mereka menemui ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

“Semoga Allah SWT mengampuni, merahmati dan menerima Almarhum dalam kalangan hamba-Nya yang salih,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Syed Husin, 87, yang menghidap kanser meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 12.20 tengah malam tadi.– HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -