Himpunan bersifat membela rakyat, tiada agenda politik

Dayangku Intan
- Advertisement -

PUTRAJAYA: “Kami terima berapa ramai pun yang datang dalam Demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1 hari ini,” kata artis era 1980-an, Dayangku Intan.

- Advertisement -

Menurutnya, perhimpunan itu tidak dinafikan mendapat sokongan ramai rakyat biasa yang hanya inginkan kerajaan membetulkan keadaan.

“Namun begitu saya diberitahu ada yang tidak hadir kerana bimbang dengan demonstrasi ini tidak mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan.

“Namun begitu apabila kami berbincang sendiri dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebenarnya tiada halangan pun untuk mengadakan demonstrasi ini dan PDRM sendiri memberi kerjasama yang baik,” katanya ketika ditemui di kawasan Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Menurut beliau, himpunan itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan pada masa ini kerana lebih bersifat membela rakyat semata-mata.

Tambah beliau, perkara tersebut dibuktikan dengan himpunan itu tidak mengambil sebarang dana daripada mana-mana parti politik.

“Saya nak betulkan pandangan orang ramai bahawa demonstrasi hari ini adalah hanya untuk kepentingan rakyat semata-mata dan langsung tidak mempunyai tujuan politik.

“Jadi apa yang kami inginkan ialah menuntut lapan perkara kepada pihak kerajaan yang telah dinyatakan oleh Aidil Yunus (YB Viral) dalam sidang media pada 27 Jun yang lalu,” ujarnya.

Terdahulu, dalam sidang media berkenaan Demo Rakyat Lawan Anwar Round 1 pada 27 Jun lalu, rakyat hanya menuntut lapan perkara untuk kerajaan laksanakan bagi membetulkan keadaan negara.

Tuntutan itu ialah kerajaan perlu menurunkan kembali harga minyak diesel dan jangan menaikkan harga minyak RON95.

Kedua, kerajaan perlu mengembalikan bekalan beras tempatan tanpa kenaikan harga dan membela nasib pesawah.

Ketiga, kerajaan perlu mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar akibat COVID-19 dengan meluluskan kumpulan pencarum yang memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneruskan kehidupan.

Keempat, kerajaan perlu tangani kenaikan kos sara hidup dengan segera dan telus serta menghentikan sebarang manipulasi data ekonomi.

Kelima, kerajaan perlu membela nasib kakitangan kesihatan awam dengan menaik taraf prasarana dan kualiti perkhidmatan serta membatalkan pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan yang bakal menswastakan perkhidmatan kesihatan awam.

Keenam, kerajaan perlu berlaku adil kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang dengan peruntukan kewangan yang mencukupi supaya Ahli Parlimen boleh melaksanakan tugas mereka dengan efektif melalui pelaksanaan undang-undang peruntukan kewangan yang setara dan adil.

Ketujuh, kerajaan perlu hentikan cubaan untuk membisukan rakyat yang meluahkan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan manakala yang kelapan ialah menghentikan polisi-polisi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menekan rakyat dan menjarah negara.

Justeru, Dayangku Intan berharap kerajaan dapat menunaikan lapan perkara tersebut memandangkan keadaan rakyat sudah pun tersepit dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Katanya lagi, sesiapa pun yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri perlu menjaga kebajikan semua rakyat negara ini dan bukan sebaliknya.

“Saya beri jaminan mana-mana pihak yang memegang kerajaan pun sekiranya mula mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat maka demonstrasi sebegini akan kami lakukan.

“Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Amal Malaysia kerana sudi turun bagi menjaga keamanan demonstrasi hari ini tetapi seperti mana saya nyatakan tadi iaitu demonstrasi hari ini tidak mempunyai sebarang agenda politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -