
ARAU: Darul Faqih Academy menunjukkan perkembangan memberangsangkan walau baharu sebulan sahaja beroperasi d Taman Saujana Impian, Kubang Gajah, di sini.
Pengasas, Ustaz Muhammad Amir Firman Abdul Zainol kini sudah mempunyai hampir 50 pelajar terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa serta tiga orang guru di akademi ini.
Akademi tersebut pada awalnya bermula dengan 15 pelajar, namun kini telah berkembang kepada 32 pelajar untuk kategori sekolah rendah berumur antara 6 hingga 12 tahun.
Kelas Al-Quran untuk kanak-kanak diadakan dari Isnin hingga Jumaat, bermula pada pukul 7 malam hingga 9 malam dengan yuran sebanyak RM120 seorang.
Selain itu, kelas untuk dewasa yang kebanyakannya terdiri daripada kaum pesara wanita diadakan pada hujung minggu, sama ada pada waktu pagi atau petang.
Kini, terdapat hampir 20 pelajar dewasa yang mengikuti kelas di akademi ini.
“Kebanyakan pelajar mengetahui tentang kelas ini melalui laman media sosial yang saya kendalikan,” katanya kepada _Harakahdaily_, di sini.
Darul Faqih Academy dinamakan sempena nama anak kedua Ustaz Muhammad Amir Firman, iaitu Muhammad Faqih Al-Baihaqi.
Dengan dokongan seorang staf sokongan yang bertugas sebagai kerani, akademi ini komited untuk memberikan pendidikan Al-Quran kepada masyarakat setempat.
“Kami berharap usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan dapat memberi manfaat kepada semua yang terlibat,” tambah beliau.
Bagi yang berminat untuk mempelajari Al-Quran di Darul Faqih Academy, mereka boleh menghubungi Ustaz Muhammad Amir Firman Abdul Zainol secara langsung.
Dengan perkembangan ini, Darul Faqih Academy terus berusaha menjadi pusat pendidikan Al-Quran yang unggul di Perlis, memberikan peluang kepada lebih ramai individu untuk mendalami ilmu Al-Quran. – HARAKAHDAILY 28/6/2024















