
KANGAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri, Mohd Shukri Ramli menyuarakan kebimbangan sekiranya harga petrol naik, golongan berpendapatan rendah seperti petani dan pekerja bawahan akan lebih tertekan.
“Saya rasa kalau sekiranya berlaku kenaikan petrol ini, rakyat akan lebih tertekan. Saya sarankan supaya kerajaan mempertimbangkannya, kerana kenaikan harga, apabila naik, sukar untuk turun semula,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu meneliti dengan lebih mendalam langkah-langkah subsidi atau bantuan untuk golongan yang terjejas teruk akibat kenaikan harga petrol.
“Kerajaan harus memastikan bantuan atau subsidi ini berjaya sebelum menaikkan harga petrol. Sekarang ini, petani-petani dan pekerja-pekerja pangkat bawahan amat terkesan, kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh,” tambahnya.
Menteri Besar Perlis itu juga turut menekankan bahawa harga padi perlu dikaji semula agar tidak membebankan petani.
“Contohnya, jika harga padi tidak naik sedangkan kos untuk mengendalikan sawah meningkat, rakyat akan semakin tertekan,” katanya.
Beliau juga berkata, kenaikan harga barang yang tidak selari dengan kenaikan gaji adalah satu masalah besar.
“Walaupun kenaikan gaji diumumkan oleh kerajaan dapat melegakan kakitangan awam, kenaikan kos hidup akibat kenaikan harga barang menyebabkan kesannya seperti tiada kenaikan gaji,” jelasnya lagi.
Beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula keputusan ini dan tidak salah jika perlu berundur sedikit demi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan semula langkah-langkah ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024











