
KUALA LUMPUR: Diskriminasi yang berlaku terhadap wakil rakyat pembangkang merupakan satu pencabulan terhadap hak asasi rakyat yang memilih pemimpin mereka.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, rakyat diberi hak untuk memilih pemimpin, namun selepas mereka menunaikan tanggungjawab, negara seolah-olah tidak mengiktiraf pilihan yang dibuat.
“Diskriminasi berlaku dalam kerajaan Madani. Wakil rakyat daripada Ahli Parlimen khususnya daripada PN tidak diberi peluang dan dihalang untuk bersama rakyat dalam jabatan-jabatan kerajaan.
“Apakah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bersetuju dengan tindakan ini? Sebaliknya ketua bahagian Umno merasmikan mesyuarat PIBG dan program-program di sekolah termasuk sukan dan lain-lain,” katanya semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mendedahkan diskriminasi yang berlaku di kawasan Parlimen Temerloh.
“Contohnya pada hari ini 27 Jun, Ketua Bahagian Umno Temerloh masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar.
“Apakah sebenarnya peranan mereka? Mereka tidak dipilih oleh rakyat. Apakah kita lihat perkara ini dinafikan dan mengiktiraf hak rakyat memilih pemimpin?” soalnya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024











