
KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 adalah penting kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan industri penerbangan negara.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, RUU berkenaan merangkumi pindaan yang diperuntukkan dalam 14 fasal keseluruhannya, termasuk Fasal 3 yang bertujuan memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan seterusnya membubarkan MAVCOM.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung keputusan pembubaran Mavcom dibuat berdasarkan kepada keputusan Jemaah Menteri pada 2019 lalu.
“Di mana menteri pada waktu tersebut adalah menteri yang sama pada kali ini,” katanya semasa membahaskan RUU MAVCOM(Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden PAS, turut membangkitkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berhubung keputusan besar yang melibatkan Mavcom tidak pernah dibincangkan terlebih dahulu bersama MAVCOM.
“Adakah pada kali ini pihak kementerian telah mengadakan perbincangan yang tuntas bersama MAVCOMdalam meneruskan keputusan Jemaah Menteri 2019 yang lalu kerana ia sangat berkait rapat dengan persepsi tatakelola kerajaan dalam membuat satu keputusan yang besar?
“Sejauh mana jaminan kerajaan terhadap fungsi terpenting Mavcom iaitu sebagai badan bebas yang tidak terikat mana-mana pihak terutama berkaitan politik dapat dikekalkan dalam memberikan pandangan berkaitan industri penerbangan di negara ini?
“Janganlah kerana tidak dapat menerima kritikan dan komentar pihak luar berkaitan ‘kerja buat kita’ terus dibuang orang-orang tersebut sedangkan kritikan dan komentar ini akan memperkasakan kembali organisasi dan kerja buat kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024











