Dua pasar awam tersohor di Kelantan bakal berwajah baharu

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua tarikan utama pelancong di Kelantan, Pasar Siti Khadijah dan Pasar Awam Wakaf Che Yeh bakal berwajah baharu bersempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, wajah baharu pasar tersebut akan memberi imej yang lebih segar dan menarik, sementelah ia menjadi tarikan utama pelancong di Kelantan.

- Advertisement -

“Projek tersebut mendapat peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut memberi kelulusan RM500,000 untuk keceriaan Pasar Siti Khadijah,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco di MABNA, di sini, hari ini.

Sementara itu beliau berkata, projek membaik pulih Pasar Awam Wakaf Che Yeh pula melibatkan kos RM1 juta.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri merakam ucapan terima kasih kepada KPKT di atas kelulusan peruntukan tersebut,” ujarnya sambil menambah, pihaknya juga berharap peniaga dan pengunjung di kedua-dua pasar terbabit sentiasa menjaga kebersihan dan keceriaan.

“Langkah tersebut penting bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena TMK 2024.

“Senarai pasar yang perlu dibaikpulih telah dikemukakan kepada KPKT dan kerajaan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -