Bubar MAVCOM: Jangan korbankan industri penerbangan negara

Dr. Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti, melihat dan menangguhkan keputusan membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) supaya tidak mengorbankan industri penerbangan khususnya Malaysia Airlines Holding Berhad (MAHB) di atas niat-niat tertentu.

- Advertisement -

Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, ini berikutan MAVCOM adalah sebuah badan bebas yang boleh menentukan sebarang keputusan tanpa perlu merujuk kepada kerajaan berdasarkan Seksyen 17 dan 38 di bawah Akta 771.

“Ini bermakna sekiranya MAVCOM melaksanakan fungsinya dengan bebas, maka Suruhanjaya ini akan menjadi entiti yang bertanggungjawab melaksanakan fungsi semak dan imbang kepada kerajaan dalam apa-apa keputusan kerajaan berkaitan dengan industri penerbangan,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang MAVCOM (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sehubungan itu menurutnya, cadangan pembubaran MAVCOM dilihat berkaitan dengan usaha kerajaan yang dilihat cukup terdesak untuk menjual satu blok besar sebanyak 30 peratus daripada blok saham MAHB kepada syarikat asing iaitu Global Infrastructure Partners (GIP).

“Dan kita perlu ingat, jika pada 6 Januari 2020 (di mana) pada waktu itu, CEO Malaysia Airport Berhad MAHB meletakkan jawatan pada waktu Menteri Pengangkutan yang sama.

“Banyak cerita di belakangnya dan beliau sekarang ini merupakan salah seorang Ketua Pegawai Operasi di MAVCOM. Jadi adakah perkara (ini) berkaitan dengan pelanjutan konsesi ini.

“Dan sepertimana yang disebut oleh Pendang, DAP yang selama ini memperjuangkan kebebasan institusi itu, kebebasan satu pihak, tidak ada pihak yang (dibenarkan) memegang kuasa terlalu besar.

“Maknanya buktikanlah tunjukkanlah bahawa itulah yang diperlukan dan dalam konteks ini, industri ini bakal melalui satu zaman satu kaedah, satu masa yang amat penting melibatkan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing.

“Dan kita perlu ingat, tidak ada airport-airport di rantau ini yang dipegang oleh mana-mana syarikat asing dalam blok yang besar. Jangan cakap tentang lima persen, satu persen, kita bercakap dalam blok yang besar.

“Lihat di Singapura, lihat di Vietnam, lihat di Thailand dan kita tahu industri sedang melalui satu keadaan yang cukup mencabar,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -