
KUALA LUMPUR: Pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk diserapkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dibimbangi akan menyebabkan hilangnya kebebasan kawal selia industri.
Bakri Jamaluddin (PN Tangga Batu) berkata, penggabungan itu juga akan menyebabkan berlakunya pemusatan kuasa yang akan membuka ruang untuk berlaku penyalahgunaan kuasa.
Katanya, ia seperti kata perpatah Inggeris yang berbunyi more power, more corrupt, absolute power, corrupt absolutely (kuasa cenderung disalahgunakan, tetapi kuasa mutlak pasti disalahgunakan).
“Rakyat juga adalah pemegang taruh dalam industri penerbangan negara. Oleh itu badan bebas sangat diperlukan bagi mengawal selia industri ini yang hari ini semakin berkembang selepas pandemik Covid-19.
“Saya yakin rakyat tidak mahu melihat pemusatan kuasa yang berlaku di dalam isu pegangan saham MAHB berlaku di dalam agensi ini bila bergabung,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian sewaktu mengambil bahagian pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Bakri, pihaknya menghargai niat baik Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mempertingkatkan efisiensi dalam kawal selia industri penerbangan negara, tetapi tindakan membubarkan MAVCOM perlu ditinjau kembali.
“Apakah MOT telah benar-benar melakukan libat urus atau industry consultation dengan semua agensi terlibat seperti MAHB, syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia Airline, Batik dan Air Asia dan yang lebih penting adalah MAVCOM sendiri?
“Apakah MOT juga mengambil pandangan daripada International Air Transport Association (IATA) yang mewakili 300 syarikat penerbangan yang mewakili 80 dari ‘Global Air Traffic’?” soalnya.
Beliau turut merujuk kepada sebuah artikel yang diterbitkan oleh New Straits Times pada 23 Disember 2019 yang melaporkan bahawa IATA sendiri tidak menyokong penggabungan MAVCOM dan CAAM.
Ini, menurut laporan itu, kata beliau, tindakan tersebut melibatkan penstrukturan dan proses yang akan memberikan kesan negatif kepada prestasi masa depan industri itu.
“IATA, sebuah badan yang sangat berpengaruh di dalam industri penerbangan global sendiri telah melihat kejayaan dan kemajuan-kemajuan yang telah dilakukan oleh MAVCOM dalam meningkatkan pretasi industri penerbangan negara,” katanya.
Katanya, sekiranya alasan penggabungan itu adalah disebabkan CAAM yang kurang cekap dan efisien, maka beliau mencadangkan agar MOT memberikan penumpuan dalam memastikan pegawai-pegawainya mempunyai kelulusan tinggi dan bersesuaian agar dapat diberikan gaji yang berpatutan dan setimpal.
Jelasnya, latihan berterusan perlu diberikan bagi meningkatkan kecekapan dan memacu efisiensi kerana agensi itu berada terus di bawah MOT sendiri tanpa perlu mengganggu MAVCOM yang diakui dari segi prestasi dan efisiensi yang tinggi.
“Dalam isu penjualan saham MAHB, apakah Pengerusi Khazanah hanya berbincang dengan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri untuk membuat keputusan dan setelah itu dimaklumkan ke kabinet?
“Sebagi penutup Tangga Batu menyokong saranan Jerantut agar pembubaran RUU ini ditangguhkan dan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dikaji secara terperinci sebelum ianya dibawa kembali ke Dewan ini untuk dibahaskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024











