Apa nasib kakitangan MAVCOM selepas dibubar

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memberi jaminan bahawa tidak ada kakitangan yang akan teraniaya akibat daripada pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk diserapkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) .

- Advertisement -

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, ini adalah kerana kedua-dua organisasi itu mempunyai latar belakang yang berbeza dari segi skim gaji yang mungkin menyebabkan berlaku perubahan yang merugikan sebelah pihak.

“Apa jaminan kerajaan kepada semua kakitangan MAVCOM terutamanya dari sudut penyerapan mereka ke dalam CAAM? Apakah jaminan kerajaan untuk tidak berlakunya rightsizing ataupun downsizing kepada kakitangan MAVCOM?

“Apakah mereka akan diserap sepenuhnya tanpa mengurangkan sedikit pun gaji dan manfaat mereka di MAVCOM?” soalnya sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Lebih-lebih lagi, katanya, apabila melihat kepada status CAAM yang merupakan agensi kerajaan yang berteraskan kepada tangga gaji yang berbeza.

Kata beliau, dengan tangga gaji yang berbeza ia memungkinkan berlakunya penyesuaian saiz kakitangan ataupun mungkin ada yang akan diberi ‘skim pemisahan sukarela’ (VSS).

“Ataupun akan berlakunya pertambahan skop kerja kepada kakitangan CAAM? Apakah kebajikan mereka terpelihara melalui kenaikan gaji yang setimpal, sebab mereka tertakluk di bawah gaji skim kakitangan kerajaan dengan bebanan kerja mereka yang baru ini,” ujarnya.

Beliau turut meminta agar Menteri Pengangkutan menuntut jaminan kerajaan dari sudut kewangan agar pemasuhan suruhanjaya itu tidak menyebabkan berlaku situasi menganaktirikan urusan mengawal selia ekonomi dan komersial berhubungan dengan industri penerbangan awam.

Tambahnya, ia berkaitan dengan skop kerja MAVCOM dalam keadaan CAAM memperkukuhkan kedudukan mereka dalam mengawal selia bahagian teknikal industri ini.

Kata Khairil, beliau difahamkan bahawa pada tahun 2019 taraf keselamatan penerbangan Malaysia telah diturunkan kepada kategori dua oleh United Nation Civil Aviation Organization walaupun pada tahun 2022 ia telah dinaikkan kembali kepada kategori satu.

Tambah beliau, di antara sebab utama penurunan kategori ini adalah kerana kurangnya kemampuan kewangan oleh pihak CAAM menyebabkan mereka tidak mampu melantik kakitangan teknikal yang lebih berkelayakan dalam mengendalikan urusannya.

“Dengan segala implikasikan kewangan yang saya sebutkan ini mampukah CAAM bertahan? Ini tidak termasuk dengan kemampuan pengawal selia baharu ini untuk melantik talent yang berkelayakan dalam mengendalikan dan mengkoordinasi kedua dan skop kerja yang besar dalam industri penerbangan awam ini,” katanya.

Tambahnya, CAAM memerlukan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti mengikut kadar pasaran supaya mereka boleh mewarnai industri teknikal penerbangan negara ini. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -