
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk memberi tumpuan dan membenarkan lebih banyak pembangunan perumahan bandar bersepadu pada skala besar bagi memasukkan solar bumbung dalam pakej harga melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, perkara itu membolehkan penggiat hartanah dapat mempertimbangkan penyelesaian bagi penyimpanan tenaga.
“Sejauh manakah analisa kos faedah dijalankan untuk pemasangan panel solar di unit kediaman melalui kerjasama penyedia rumah mampu milik seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Abdul Khalib meminta kerajaan menyatakan bentuk insentif kepada pemaju hartanah untuk memasukkan plan pajakan solar sebagai sebahagian daripada pakej Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama.
Katanya, insentif itu demi manfaat rakyat yang kurang berkemampuan serta mengambil kira unjuran peningkatan keperluan tenaga bagi menampung permintaan industri.
“Sementara itu, apakah usaha kerajaan untuk memperkasakan sektor tenaga khususnya, supaya rizab tenaga negara dapat terus ditingkatkan,” katanya.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata beliau tidak dapat menjawab kesemua soalan Ahli Parlimen Rompin itu.
“Tetapi inisiatif di bawah program baharu adalah peralihan tenaga dalam industri bekalan gas akut yang dirancakkan melalui pelaksanaan insentif oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Ini termasuklah dengan inisiatif solar-solar peralihan tenaga. Dari segi maklumat yang terperinci ini adalah di bawah punca kuasa kementerian PETRA harap dapat maklum dari mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024











