
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi perincian Strategi Semikonduktor Nasional (SSN) yang dilancarkan Perdana Menteri pada Mei lalu mampu menjana pulangan sekurang-kurang RM500 billion.
Justeru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta penjelasan kerajaan mengenai peluang kerjasama persekutuan dan negeri membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat.
“Bagaimanakah kerajaan akan memastikan tercapainya sasaran sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (SSN) Malaysia.
“Apakah dapat dibentuk ruang kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi memperoleh manfaat bersama dalam industri semikonduktor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, pengumuman itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi negara sekali gus menjadi negara hub semikonduktor dunia.
“Kerajaan mempunyai sasaran iaitu menarik pelabur sekurang-kurang RM500 billion dalam sektor ini khususnya dalam pembungkusan termaju pembuatan peralatan semikonduktor dan sebagainya.
“Selain itu ialah 10 syarikat tempatan dalam reka bentuk dan pembungkusan termaju dengan pendapatan antara RM1 bilion sehingga RM4 bilion dan melahirkan 100 syarikat berkaitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024











