Pendakwah lapor polis terhadap akhbar ‘Negeri Kita’

- Advertisement -

SEREMBAN: Satu laporan polis dibuat terhadap akhbar ‘Negeri Kita’ dan Ketua Editornya, Ahmad Shahir atas penyiaran berita tidak beretika yang dikaitkan dengan seorang pendakwah, Ustaz Rosmin Adam.

- Advertisement -

Laporan polis tersebut telah dibuat sendiri oleh Ustaz Rosmin dengan ditemani seorang rakannya di Balai Polis Seremban 2, di sini pada jam 10 pagi hari ini.

Menurut Ustaz Rosmin, laporan polis itu dibuat berasaskan kepada kandungan akhbar Negeri Kita edisi-2 dengan tajuk utama muka surat satu akhbar tersebut tertulis ‘Fitnah Makanan Bulan Ramadan’.

Jelas beliau, kandungan tersebut menerangkan modus operandi fitnah, kronologi fitnah dan Ruwaibidhah.

“Pada muka surat tiga dipaparkan mengenai berita laporan polis ke atas penceramah memfitnah di Masjid Sikamat, di mana laporan polis ini merujuk kepada diri saya (dipaparkan gambar saya).

“Kemudian berita ini ditambah dengan kenyataan respons rakyat tentang budaya fitnah,” ujarnya dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan kenyataan pelapor berita tersebut, Ahmad Shahir, pemberitaan dibuat berasaskan kandungan video klip ceramah beliau ketika kuliah Subuh di Masjid Sikamat pada bulan Ramadan lalu.

“Sebenarnya pada 6 April 2024 lalu saya telah buat laporan polis (rujuk No.Repot SIKAMAT/001588/24) mengenai video klip tersebut bahawa video klip itu telah diedit, disunting, dipotong dan disambung oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya memohon PDRM dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya ke atas pelaku. Tulisan yang mengaitkan saya memfitnah yang diterbitkan oleh akhbar ini telah menjatuhkan maruah peribadi saya.

“(Juga) merosakkan reputasi saya dan telah memalukan saya di khalayak awam, sedangkan sehingga kini saya tidak pernah didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah kerana memfitnah,” katanya lagi.

Disebabkan perkara itu, beliau memohon pihak PDRM dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya ke atas Ahmad Shahir dan akhbar ‘Negeri Kita’ kerana telah membuat laporan berita tidak beretika.

Malah menurutnya, memanipulasi berita, memalukan dirinya dan mempunyai unsur-unsur berniat jahat terhadap beliau di mana turut bercadang mengambil tindakan saman sivil. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -