
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk mengubah beberapa orang Menteri Kabinet berikutan tidak mempunyai daya saing yang baik seperti mana Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan Indeks Daya Saing ke landasannya.
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, kerajaan mempunyai baki enam tahun untuk mendaki 22 anak tangga untuk mencapai ranking ke 12 pada tahun 2030 yang merupakan sasaran yang tinggi seperti dilaporkan Timbalan Menteri Kewangan Kedua tahun lalu daripada Bukit Mertajam.
“Dan saya percaya ini sasaran negara. Ini bukan sasaran Tambun seorang. Sasaran ini sasaran secara kolektif. Kita tengok Tambun bekerja siang malam pergi sana pergi sini untuk meningkatkan indeks ini.
“Namun nampaknya mungkin ada beberapa orang menteri yang tidak ada daya. Bukan setakat daya saing, tidak berdaya. Takut nanti kepala kereta api pergi seorang-seorang tertinggal gerabak kat belakang.
“Pusing-pusing tengok gerabak tak ada. Jadi adakah Tambun nak tukar gerabak-gerabak yang rosak dan lambat itu dengan gerabak-gerabak yang baharu supaya kita boleh memacu,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Afnan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas keterbukaan mengakui laporan ataupun Indeks Daya Saing Dunia 2024 jatuh ke tangga 34 dunia.
“Soalan saya ialah PBB World Investment Report juga melaporkan kita mengalami penurunan 50 peratus berbanding tahun 2022. Adakah ini juga menyumbang kepada turunnya ranking dalam daya saing dunia,” kata beliau.
Anwar dalam jawapannya memberitahu, beliau akui teguran tersebut dan tidak mengambil pendekatan mempertahankan dan boleh diperbaiki oleh kerajaan yang menjadi tanggungjawab semua.
“Bukan saja jemaah Menteri KSU (Ketua Setiausaha) dan ketua-ketua pengarah dan agensi-agensi kerajaan. Tapi saya nak juga tekankan. Kalau ikut laporan IMD (Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan) ini, kedudukan Malaysia bagi subsektor prestasi ekonomi itu nombor lapan. Masih, tidak membimbangkan.
“Tapi bila perinci memang membimbangkan, saya tak nafikan. Kerana kita tengok keadaan Ringgit dulu dan keadaan kita berbelanja untuk subsidi yang bertambah dan lewat dalam melaksanakan penyasaran subsidi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar bersetuju bahawa semua termasuk dirinya dan rakan-rakan jemaah menteri harus perbaiki prestasi sedaya upaya dan menerima baik teguran itu dan akan menyampaikannya kepada mesyuarat jemaah menteri.
Afnan dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah strategi kerajaan ekoran kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024, malahan mencatatkan penurunan ketara merentas sub-sektor ekonomi domestik dan produktiviti serta kecekapan perniagaan yang merudum kepada kedudukan ke-40 berbanding kedudukan ke-24 semasa pandemik. – HARAKAHDAILY 25/6/2024











