
KANGAR: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis Kali Ke-49 yang membawa tema “Kukuhkan Saf, Mengisi Kemenangan” telah berlangsung di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar Perlis, di sini kelmarin.
Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, tema itu diangkat dengan tujuan memastikan barisan Pemuda kekal kukuh di semua peringkat dalam usaha mengisi kemenangan yang dianugerahkan Allah S.W.T.
Pengarah Strategik Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Abdul Malik Ab Razak merasmikan muktamar yang berlangsung harmoni dengan semua perwakilan memberikan saranan dan cadangan untuk mengukuhkan saf perjuangan.
Haziq yang juga ADUN Beseri turut mengajak semua Pemuda PAS Perlis untuk terus berjuang dan mengabaikan rintangan kecil sepanjang perjalanan yang ditempuh.
“Ayuh kita teruskan langkah kerana jalan perjuangan masih panjang. Abaikan kemuncup-kemuncup yang lekat sepanjang perjalanan ini. Infiru,” tambahnya.
Muktamar disertai para perwakilan dan turut dihadiri pemerhati daripada tiga PAS Kawasan iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar. – HARAKAHDAILY 24/6/2024












