
KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan bermesyuarat bagi mengenal pasti calon yang sesuai untuk mewakili gabungan tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, individu berbeza akan bertanding kerusi di peringkat DUN dan parlimen berbanding sebelum ini hanya diwakili Mohd Azizi Abu Naim di DUN Nenggiri dan parlimen Gua Musang.
“Ya ini sahih, kita nak letak calon yang berbeza, dua orang berbeza pada pilihan raya membabitkan DUN Nenggiri dan Parlimen Gua Musang nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga memberitahu tidak menyangka Azizi menyatakan sokongan kepada kerajaan Madani walaupun diberi peluang bertanding mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Beliau mendedahkan mantan ADUN Nenggiri itu meminta supaya namanya terpilih bagi menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan berasingan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PRU15 diadakan pada tahun 2022 manakala PRN dibuat pada Ogos 2023 membabitkan enam negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya juga Azizi bimbang jika petisyen pilihan raya dikemukakan Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU15 tidak menyebelahi dan ia akan merugikan parti itu sendiri.
Kamaruddin berkata, beliau antara individu yang melobi pimpinan tertinggi parti di Kuala Lumpur untuk memilih Azizi untuk bertanding kerusi DUN Nenggiri pada PRN.
“Azizi risau jika dia kalah dalam petisyen tersebut, dia datang jumpa saya supaya di peringkat negeri nanti dia boleh bertanding juga sebab kalau dia kalah petisyen parlimen Gua Musang, dia ada lagi peluang di peringkat negeri.
“Dia minta dia sorang sahaja diberikan keistimewaan tersebut tetapi nasib kurang baik dia buat macam ini, saya rasa terkilan dengan apa yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2024











