3 pimpinan PAS meninggal dunia pada 23 Jun

- Advertisement -

USTAZ Fadzil Noor, Ustaz Abu Bakar Chik dan Haji Subky Latif adalah antara figura penting dalam PAS dan perjuangannya.

- Advertisement -

Sekadar mengimbau masa lalu, saya mengenali Ustaz Fadzil Noor melalui kaset-kaset ceramah politiknya di tahun 1980-an. Ketika itu saya di bangku sekolah menengah. Kadang-kadang di hujung minggu, masa cuti sekolah atau ketika belajar di pondok, saya hadir ceramahnya. Ucapannya bernas, sesekali sinis dan ada unsur jenaka yang terselit mesej politik di dalamnya. Beliau pernah datang ke Jordan memberi taujihat kepada para pelajar Malaysia pada tahun 1990-an.

Saya kenal Ustaz Abu Bakar Chik sebagai seorang Ketua Pemuda PAS ketika itu yang agak ‘bekeng’ kata orang Terengganu. Ceramahnya juga agak lantang. Di Terengganu, isu Institut Berakan diingati. Anak-anak muda kini mungkin tidak tahu mengenainya. Beliau juga pernah datang ke rumah saya ketika saya belajar di Jordan. Apabila rapat dengannya, baru tahu Ustaz Abu Bakar Chik sebenarnya seorang yang baik. Cuma sifat tegasnya tetap ada.

Saya kenal Haji Subky Latif dari tulisannya dalam akhbar-akhbar politik seperti Watan dan lain-lain sebelum Harakah muncul. Juga dari buku-bukunya pada tahun 1970-an dan 1980-an. Beliau ada gaya penulisan tersendiri. Mungkin ceramahnya tidak sehebat tulisannya. Beliau menjawat jawatan dalam PAS secara rasmi kemudiannya.

Tiga orang bekas pimpinan PAS ini mendahului kita, bukan sahaja jasadnya, bahkan membawa bersama roh perjuangan Islam, juga istiqamah hingga ke akhir. Semua ini adalah bekalan peringatan buat kita ketika memperingati tarikh kematian mereka bertiga pada hari ini, 23 Jun.

Saya sarankan kepada anak-anak muda yang bersama dengan PAS ini untuk membaca sejarah hidup dan perjuangan mereka bersama PAS untuk menjadi motivasi kita bersama.

Benarlah firman Allah:

مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ رِجَالٌ صَدَقُوْا مَا عَاهَدُوا اللّٰهَ عَلَيْهِ ۚ فَمِنْهُمْ مَّنْ قَضٰى نَحْبَهٗۙ وَمِنْهُمْ مَّنْ يَّنْتَظِرُ ۖوَمَا بَدَّلُوْا تَبْدِيْلًاۙ

Maksudnya: “Di antara orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)”. (Surah Al-Ahzab: 23) – HARAKAHDAILY 23/6/2024

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

- Advertisement -