
KULIM-BANDAR BAHARU: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengalami krisis kepercayaan dan keyakinan bukan sahaja daripada rakyat negara sendiri, tetapi termasuk juga di peringkat antarabangsa.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ia melibatkan hal integriti berkenaan ketelusan dan kebenaran terhadap ucapan dan perkara dilakukan Anwar yang tidak menepati hakikat sebenar.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berucap dalam Ceramah Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kedah ke PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Relau, di sini malam tadi.
Antara terkini menurut beliau, berkaitan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Zionis yang pemimpin tersebut nyatakan sebagai dakwaan tidak berasas pada 17 Mei lalu.
“Mari pula hari ni punya laporan (media) 21 Jun, (dia nyatakan) ‘Ekonomi kita terjejas jika putuskan hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel’. Bulan lima (Mei) (dia kata) dakwaan tak berasas, makna fitnahlah.
“Mai bulan enam (Jun) pula dia kata ekonomi kita terjejas jika putus hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai membidas pendirian berubah-ubah itu.
Begitu juga tegasnya, berkenaan kenaikan harga diesel yang menyebabkan kemarahan bukan oleh orang-orang PAS, BERSATU atau GERAKAN, tetapi rakyat umumnya kerana merasakan ia satu penindasan kepada mereka.
“Kerana dulu janji apabila menang minyak turun. Betul tak? Ini yang menyebabkan rakyat marah. Ini puncanya. Kalau dia (Anwar) tak janji tak apa. (Tetapi) Dia janji. Tiba-tiba bukan harga minyak yang turun, sebaliknya semakin naik.
“Ini yang menjadikan kemarahan kepada rakyat dan kita yakin dan percaya juga penyokong-penyokong Pakatan Harapan pun, yang selama ini maki PAS, maki Tok Guru, tetapi bila jadi macam ini mereka pecah sesama mereka.
“Pakat kata mengata sama depa, tak guna kita sokong PMX. Duk marahlah dia duk buat traktor dalam bendang. Duduk bawa guna diesel. Bila naik harga seringgit dua kupang, baru dia tahu Rabu, Khamis, Jumaat,” ujarnya.
Lebih mengecewakan rakyat kata Ustaz Idris, apabila alasan berkaitan didakwa melibatkan golongan mahakaya dan warga asing, tetapi penurunan harga telur 3 sen juga akan menyebabkan golongan tersebut tetap menikmati subsidi. – HARAKAHDAILY 22/6/2024











