Skuad Sang Kijang Emas enggan berputih mata lagi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim (KDN) FC berazam untuk bangkit pada aksi Liga Super 2024/25 bertemu PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini Ahad ini.

- Advertisement -

Biarpun begitu KDN FC sedar ia bukan satu tugas mudah, namun skuad Sang Kijang Emas enggan lagi berputih mata setelah tewas tiga aksi awal Liga Super dan tersingkir saingan Piala FA, baru-baru ini.

Pemain pertahanan KDN FC, Mohd Irwan Syazmin Wahab berharap semua rakan sepasukannya melupakan kekalahan sebelum ini dan bangkit mencipta kejayaan sulung pada aksi di laman sendiri nanti.

Katanya, perlawanan itu memang sukar kerana sedar pasukan pelawat sejak musim lepas berkemampuan melakukan kejutan.

“PDRM FC juga baru dikejutkan dalam Piala FA dan mereka pasti akan melakukan segalanya untuk menundukkan kami di Kota Bharu.

“Saya harap rakan-rakan melupakan kekalahan sebelum ini dengan bangkit kembali bagi mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya juga pungutan mata penuh juga bukan sahaja dapat memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, malah akan mengurangkan tekanan pemain sebelum ini.

Tambah beliau, Ahad ini menjadi peluang terbaik dengan sokongan padu penyokong untuk mendapatkan kemenangan sulung.

“Tiada yang mustahil selagi 90 minit masa perlawanan nanti digunakan sebaik mungkin demi memperbaiki kedudukan serta mengurangkan sedikit tekanan selepas tewas sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -