Pulau Pinang pernah kosongkan empat kerusi DUN

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pernah mengosongkan empat kerusi berikutan wakil rakyat terbabit menyokong parti lain.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pada 2023 ADUN yang menyertai pembangkang diarah meninggalkan sidang DUN selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan.

“Kalau tak silap saya pada ketika itu empat ahli PKR menyertai Bersatu. Dua daripadanya gugur kelayakan ahli.

“Dan dua lagi dikekalkan kerana merupakan ahli Bersatu, namun bertanding menggunakan lambang PKR,” katanya di sini semalam.

ADUN terbabit iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Media melaporkan mereka diarah keluar dewan oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang.

Oleh itu, Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata, tidak timbul isu teknikal ke atas bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding atas logo PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu memandangkan beliau ahli Bersatu.

“Pada pandangan saya, kes Azizi ni sama kerana dia ahli Bersatu, cuma bertanding menggunakan lambang PAS.

“Pada masa sama, dia pun tak pernah baiah sebagaimana calon PAS, tetapi mungkin dia ada aku janji mengikut parti dia,” katanya.

Menurutnya juga kekosongan kerusi luar jangka DUN Nenggiri seperti yang diumumnya Rabu lepas mengikut undang-undang dan tidak bertentangan dengan prinsip perlembagaan.

Kata beliau juga pengumuman yang dibuat di luar persidangan DUN berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri adalah sah dan tidak melanggar peraturan.

Ini kerana, katanya Speaker mempunyai kuasa untuk berbuat demikian walaupun di luar sidang DUN. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -