
NIBONG TEBAL: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) mencabar Pemuda Pakatan Harapan (PH) untuk berlawan secara satu lawan satu dalam PRK N.20 DUN Sungai Bakap tanpa menggunakan jentera kerajaan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menegaskan bahawa lawan sebenar mereka adalah jentera PH.
“Jangan memberi gula-gula kepada rakyat pada PRK ini. Dulu, semasa mereka menjadi pembangkang, mereka mengkritik kerajaan yang memberikan gula-gula kepada rakyat.
“Tetapi apabila mereka menjadi kerajaan, belum mula gelanggang PRK lagi, mereka sudah umumkan gula-gula sempena Hari Raya Korban baru-baru ini,” katanya.
Ustaz Hafez menyatakan bahawa gelanggang PRK ini dibuka dengan cara yang tidak berani dan mendakwa bahawa PH tidak berani berhadapan dengan PN secara adil.
“Kita kena bekerja keras untuk memenangkan PRK ini. Jika PH menang PRK Sungai Bakap ini, mereka akan menaikkan harga minyak.
“Kalau dulu saya ulang, hari ini kita menang esok harga minyak turun, tetapi kini berubah. Hari ini kita menang, esok kita naikkan harga minyak,” sinisnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Jentera PERIKATAN NASIONAL (PN) di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Kechil, di sini hari ini.
Dengan cabaran ini, Ustaz Hafez menggesa semua jentera PN untuk bersatu dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan dalam PRK Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 21/6/2024











