EKJS Kelantan: Pusat digesa ambil tindakan penguatkuasaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan digesa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan agar kelompangan yang wujud dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Negeri Kelantan [EKJS (I) Kelantan 2019] dapat ditampung sewajarnya.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, usaha itu amat penting supaya tidak ada pihak yang terlepas daripada hukuman hanya kerana kekeliruan dalam bidang kuasa dan penguatkuasaan.

“Kita berharap Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) terus berperanan membincangkan implikasi keputusan kes ini dan bertindak segera menggunakan seluruh kepakarannya untuk memartabatkan undang-undang Islam di negara ini.

“Kita juga berharap penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam di peringkat persekutuan dapat menghasilkan solusi yang kukuh dan harmoni bagi menangani konflik bidang kuasa persekutuan dan negeri dalam penggubalan dan perlaksanaan undang-undang syariah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan Ke-51, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini. Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Menurutnyq, melaksanakan peraturan Allah SWT menjadi tanggungjawab semua mukmin apa lagi di peringkat kerajaan.

Beliau berkata, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘Supreme Law of The Federation’ perlu dipertimbangkan agar ia dapat dipinda secara syumulnya dengan mengiktiraf undang-undang syariah sebagai undang-undang utama negara.

Menurutnya lagi, ia bersesuaian dengan peranannya memberikan keadilan kepada seluruh umat sehingga berjaya menokhtahkan konflik ini.

“Pada masa sama, pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan juga wajar dilaksanakan untuk memberikan pengiktirafan kepada undang-undang dan mahkamah syariah di peringkat negeri.

“Seharusnya kita semua sedar bahawa melaksanakan undang-undang syariah bukanlah tanggungjawab kerajaan negeri semata-mata, malah ia adalah tuntutan aqidah Islam yang perlu dipikul oleh semua pemimpin Muslim,” kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Tambahnya, implikasi keputusan tersebut adalah enakmen syariah di negeri-negeri lain yang keseluruhannya mempunyai peruntukan hampir sama juga boleh dicabar sedemikian. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -