750 penduduk terima manfaat daging korban

- Advertisement -

ARAU: Seramai 750 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji menerima manfaat daripada program Ijtimak Korban 2024 yang diadakan di pekarangan Markaz Semut Gatal, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, meluahkan rasa syukur atas kejayaan program kali ini di mana lapan ekor termasuk seekor disumbangkan Maahad Tahfiz Imam An-Nawawi (MATIN).

“Dengan kerjasama semua pihak, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Guar Sanji diberi kepercayaan mengurus korban buat kali kelima sejak tahun 2018,” katanya.

Daging korban diedarkan kepada penduduk di 22 kampung dalam DUN Guar Sanji, menjadikan seramai 750 orang menerima manfaat daripada program tersebut.

Mohd Ridzuan turut merakamkan penghargaan kepada pihak Majlis Tindakan DUN, Muslimat DUN, Pemuda DUN, Unit Daerah Mengundi (UDM) dan cawangan-cawangan dalam DUN Guar Sanji.

Juga katanya kepada Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) yang membantu menjayakan program ini.

Mohd Ridzuan berharap agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT dan ukhuwah yang terjalin akan terus kukuh.

Program itu bukan sahaja memberikan manfaat dari segi agihan daging korban tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan penduduk setempat.

“Semoga ibadah korban kita diterima oleh Allah SWT,” ujarnya.

Program tersebut menjadi bukti komitmen ADUN Guar Sanji dan semua pihak terlibat dalam memastikan sambutan Hari Raya Aidiladha lebih bermakna khasnya penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -