ADUN Nenggiri terima kesan Akta Anti Lompat Parti

- Advertisement -

GUA MUSANG: Mohd Azizi Abu Naim kemungkinan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam tempoh paling singkat dalam sejarah apabila melanggar Akta Anti Lompat Parti dengan menyatakan sokongan kepada parti lawan.

- Advertisement -

Akta itu menyebut sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip yang bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keanggotaannya digugur berdasarkan perlembagaan parti tersebut iaitu ceases to be a member.

Malah bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilapor memberitahu Speaker mempunyai 21 hari untuk memastikan berlakunya kekosongan kerusi luar jangka terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri.

Menurutnya, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan tindakan parti sekiranya notis diterima berkaitan pengguguran keahlian.

Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad (foto atas) berkata, Akta Anti Lompat Parti digubal bagi mengelakkan wakil rakyat mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, akta tersebut juga digunapakai di Kelantan selepas dilulus pada sidang DUN sebelum ini.

“DUN Kelantan hanya menguatkuasa apa yang sudah dilulus di peringkat Dewan Rakyat dan ia tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak,” katanya di sini.

Azman juga berkata, peluang Mohd Azizi untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan begitu tipis kerana sudah ditolak Bersatu dan PN.

Menurutnya juga difahamkan Umno turut menolak pemimpin terbabit kerana mengkhianati mandat diberi rakyat.

“Kita ada hubungan baik dengan pemimpin Umno Gua Musang. Umno memberitahu risiko besar kalau menerima pemimpin yang khianati pilihan rakyat.

“Kerusi Nenggiri sebelum ini milik Umno. Berdasar beberapa siri PRK sebelum ini Pakatan Harapan kemungkinan akan memberi laluan kepada calon BN,” ujarnya.

Sementara itu, sebuah portal berita mendakwa Mohd Azizi mahu membawa kes tersebut ke mahkamah selepas mengadakan perbincangan dan pandangan dengan peguam. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -