Harga lembu korban turut naik di era Madani

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tempahan ibadah korban pada tahun ini berkurang berbanding sebelum ini susulan kenaikan kadar bayaran sebanyak RM100 untuk satu bahagian lembu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata rintihan tersebut diluahkan seorang imam masjid yang melaksanakan persiapan korban pada tahun ini.

“Tahun lepas harga yang ditawarkan untuk satu bahagian lembu ialah RM800 namun tahun ini meningkat kepada RM900. Di saat rakyat sedang bersusah payah dengan kenaikan harga barang akibat cukai, keperitan tersebut ditambah pula dengan kenaikan harga lembu pada tahun ini.

“Lagi bertambah perit apabila kerajaan telah mengumumkan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun yang lalu dan sudah tentu ia bakal menambah bebanan rakyat yang semakin terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Khairul Nadzir berkata, fakta tersebut disokong oleh laporan dari portal Ipsos bahawa hanya dua daripada 10 rakyat Malaysia hidup dengan selesa, manakala lapan daripada 10 rakyat Malaysia merasa tekanan kewangan pada saat ini.

Beliau berkata, kenaikan harga lembu juga menunjukkan keberadaan ekonomi Madani yang berada di landasan terbaik tetapi ternyata ia gagal dan lebih menyusahkan rakyat.

“Hal ini disokong dengan laporan dari Ipsos bahawa walaupun keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan ‘positif’ namun tujuh daripada 10 rakyat Malaysia merasakan bahawa Malaysia sedang mengalami kemelesetan ekonomi.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa ekonomi Madani hari ini gagal merubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat terutama di kawasan Sungai Bakap dapat memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terbaik bagi mengangkat suara rakyat dalam pelbagai isu.

“Jadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada kali ini sebagai referendum untuk rakyat menolak kerajaan hari ini dan menyedarkan kerajaan supaya ‘sedar dari lamunan’.

“Sungai Bakap memilih Perikatan Nasional (PN), teruskan legasi ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff,” katanya.

Sabtu lalu, Abidin Ismail, 56, diisytiharkan sebagai calon PN yang bakal membawa cabaran untuk mengekalkan kerusi tersebut pada PRK DUN Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -