Utama keselamatan dalam aktiviti korban

- Advertisement -

PUTATAN: Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Afifi Saif mengingatkan umat Islam yang menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha agar meletakkan aspek keselamatan dan kesihatan sebagai satu keutamaan.

- Advertisement -

Beliau juga menekankan agar pihak yang mengendalikan ibadah korban di surau, masjid atau di tempat-tempat lain perlu melakukan tindakan proaktif dengan memantau keselamatan dan kesihatan sebelum melakukan ibadah itu.

Ini, ujar beliau khususnya jika dilakukan oleh anak muda yang baru pertama kali ingin mencuba menyembelih binatang dan menguruskan daging korban.

“Pengendalian proses penyembelihan binatang korban mesti menitikberatkan elemen keselamatan agar situasi berbahaya yang berpotensi mendatangkan kemalangan dan kecederaan dapat dielakkan,” tambahnya yang juga Penyelaras DUN Tanjung Keramat.

Beliau berkata demikian semasa mengagihkan daging korban kepada penerima dalam kalangan asnaf terpilih dalam daerah Putatan.

Sebanyak 204 pek daging daripada tujuh ekor ternakan korban daripada PAS kawasan diagihkan kepada penduduk Kampung Contoh, Kampung Sri Pandan, Kampung Meruntum, Kampung Lembising, Kampung Pasir Putih, Kampung Muhibbah dan Taman Pantai Lok Kawi.

Dr. Afifi turut mengajak umat Islam agar menghayati makna sebenar ibadah korban yang bertujuan mendidik jiwa ke arah taqwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -