
MASJID TANAH: Sebanyak enam ekor lembu ditumbangkan dalam Ijtimak Korban Aidiladha 2024 anjuran PAS Kawasan Masjid Tanah yang berlangsung di markaznya, di Jalan Hujan Panas, di sini hari ini.
Program merupakan acara tahunan sejak lebih 20 tahun dahulu di markaz itu disertai bukan sahaja oleh ahli-ahli PAS, malah oleh penduduk sekitar yang hadir secara tradisi.
Upacara bermula dengan takbir hari raya sekitar jam 7:45 pagi diikuti ucapan aluan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Imran Abdul Rahman sementara Khutbah Aidiladha disampaikan Ustaz Abdul Halim Tuan Guru Zulkifli.
Ustaz Imran dalam ucapan berkata, peristiwa perintah Allah SWT agar Nabi Ibrahim AS untuk mengorbankan anaknya yang tersayang Nabi Ismail membawa satu pengajaran sangat besar kepada umat Islam.
Tambah beliau, ia berkait rapat dengan pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT sehingga baginda sanggup mengorbankan insan yang sangat disayangi.
“Arahan ini di luar jangkauan akal manusia supaya disembelih anaknya sendiri. Sudahlah dapat anak tu lambat, kemudian diuji dengan arahan untuk disembelih.
“Tahu sajalah, kalau orang tua dapat anak macam mana? Macam orang dapat cucu. Cucu itu lebih disayang daripada anak. Apatah lagi Nabi Ibrahim AS diuji dengan arahan menyembelih anak,” ujar beliau.
Sungguhpun begitu katanya, Nabi Ibrahim berjaya kerana itu adalah arahan dari Allah SWT untuk menguji baginda sama ada baginda kasih pada Allah SWT melebihi kasih pada anaknya.
“Ujian dan pengorbanan telah dilalui oleh semua para Nabi terdahulu. Semuanya diuji dengan pengorbanan. Ini bererti bahawa pengorbanan adalah sunnah yang diwarisi daripada Rasul-rasul dan Nabi-nabi yang terdahulu.
“Pengorbanan adalah ‘ithar’, iaitu memberi keutamaan kepada saudara yang memerlukan walaupun kita juga berhadapan dengan kesusahan tetapi kita sanggup berkorban untuk saudara kita,” ujarnya.
Tambahnya, di saat perayaan Hari Raya Aidiladha umat Islam seharusnya tidak melupakan saudara-saudara umat Islam seluruh dunia seperti di Palestin dan di tempat-tempat lain.
“Saudara-saudara kita umat Islam seluruh dunia yang menjadi korban kekejaman dan kebiadaban musuh-musuh Islam termasuk di dalam negara kita ini.
“Kita memerlukan pengorbanan dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam. Semoga segala pengorbanan kita dirahmati dan menjadi bekalan kita di akhirat nanti,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka turut mengulas mengenai pembangunan kompleks PAS kawasan itu yang sedang dalam pembinaan demi untuk meningkatkan keselesaan para pengunjung.
“Hari ini kita dapat sama-sama merasai kemudahan di dalam dewan dengan bantuan para dermawan iaitu tuan-tuan dan puan-puan sendiri.
“Alhamdulillah hari ini dewan kita sudah ‘fully aircond’. Ini semua derma dari tuan-tuan dan puan-puan. Daripada dua aircond, sekarang sudah empat. Alhamdulillah hari ini kita rasa selesa,” katanya.
Beliau turut memohon agar para penyokong PAS dapat terus menyumbang pembinaan Dewan Terbuka di lokasi yang sama yang kini sudah 40 peratus siap.
Namun katanya, disebabkan jumlah dana yang ada tidak mencukupi, pembinaan bangunan tersebut masih belum dapat disiapkan.
Beliau turut merayu sumbangan tambahan dari orang ramai bagi membolehkan bangunan tersebut disiapkan dalam kadar segera bagi memudahkan aktiviti parti di situ. – HARAKAHDAILY 17/6/2024











