
KOTA BHARU: Sektor perumahan negara dijangka terus menguncup bermula tahun ini berikutan pemaju perumahan dijangka akan beralih arah menceburi bidang perniagaan lain.
Perkara itu dijangka akan berlaku berikutan cabaran permintaan rumah yang semakin rendah akibat kenaikan harga rumah dan juga kos sara hidup yang membebankan setelah kenaikan harga diesel bermula 10 Jun lalu.
Pengarah Urusan Rushdan Yusoff Properties Sdn Bhd, Dato’ Sri Rushdan Mohd Yusoff berkata, majoriti pemaju dan kontraktor perumahan amat terkesan dengan kenaikan harga barang-barang binaan sejak tahun lepas.
Menurutnya, keadaan itu akan bertambah terutama harga bahan binaan seperti besi, simen dan bahan-bahan lain juga naik tanpa kawalan.
“Dengan kenaikan harga diesel kali ini dan subsidi bersasar yang tidak melibatkan sektor perniagaan yang berkait dengan sektor perumahan, maka pemaju dijangka menaikkan harga rumah akibat kos bahan api sememangnya kos asas semua kegiatan perniagaan.
“Paling malang ekonomi secara keseluruhan yang amat lemah dengan pendapatan sektor ekonomi yang menurun berbanding kos sara hidup yang meningkat, maka boleh dijangka sektor perumahan terus menurun,” katanya ketika mengulas kenaikan bahan api itu.

Pengarah Urusan Candik Emas Property Sdn Bhd, Datuk Samsuri Awang Mat pula berkata, kenaikan diesel sebagai bahan asas pengangkutan dan kilang sudah tentu memberi kesan yang besar kepada harga bahan pembinaan.
Katanya, pada tahun 1998 harga diesel naik 20 sen, menyebabkan harga barang binaan naik tidak turun-turun sampai hari ini.
“Apa lagi kalau naik sampai satu ringgit lebih, kesan kepada kenaikan ini kita boleh lihat dalam masa dua atau tiga minggu lagi.
“Kenaikan harga bahan-bahan binaan sudah tentu akan menaikkan harga rumah dan masyarakat yang menanggung akibatnya kerana tidak mampu membeli rumah sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, apabila berlaku kenaikan harga rumah, kemampuan rakyat untuk membeli rumah akan berkurang.
“Mungkin kerajaan akan terbeban dengan terpaksa membina lebih banyak rumah mampu milik dengan harga di bawah kos yang sebenar,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kesan yang paling besar adalah kepada kontraktor perumahan yang sedang menyiapkan pembinaan ketika ini yang telah ditempah sebelum kenaikan harga barang.
“Tapi bila sekarang tiba-tiba bahan-bahan binaan naik harga sudah tentu mereka tidak mampu meneruskan pembinaan kerana tidak dapat menanggung kos binaan ekoran dari kenaikan harga barang,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024











