PRK Sg Bakap: PH dicabar tidak guna jentera kerajaan

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pakatan Harapan (PH) dicabar untuk tidak menggunakan jentera kerajaan bagi menghadapi PRK N.20 DUN Sungai Bakap, demikian gesa Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.

“Kalau betul-betul anak jantan. Kalau tidak, (bermakna) pondan!” tegasnya pada Majlis Pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini sebentar tadi.

Katanya, PH sepatutnya berdiri dan duduk sama tinggi dengan PN dalam pertandingan PRK ini sebagaimana pakatan itu terdahulu mengumumkan calon di tempat sama dengan pengisytiharan PN pada malam ini.

Beliau menyeru para pengundi untuk memastikan DUN Sungai Bakap diwakili kekal oleh PN bagi meneruskan legasi dan khidmat cemerlang telah ditunjukkan ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff sebelum ini.

Ustaz Fauzi yang juga ADUN Sungai Dua turut menyifatkan bahawa Almarhum telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak hinggakan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang turut memberi penghormatan terakhir.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang turut yakin calon bakal diumumkan mampu meneruskan legasi Almarhum, selain menyeru seluruh penyokong bersama menjadi jentera PRK ini. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -