AEON Bank: Kuasa beli rakyat Kelantan tinggi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemilihan Kelantan sebagai negeri pertama pembukaan AEON bank digital Islam dibuat berdasarkan potensi besar masyarakat di negeri ini dalam urusan ekonomi.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata dengan kuasa beli rakyatnya yang begitu tinggi, pembukaan AEON Bank patuh syariah itu akan mendapat sambutan masyarakat.

Pada masa yang sama menurutnya, rakyat negeri ini terkenal dengan masyarakat yang rajin telah menguasai bidang perniagaan walaupun berada di luar Kelantan.

“Kelantan bukan sahaja terkenal dengan nilai-nilai Islam yang diamalkan malah rakyatnya juga diakui mempunyai kuasa beli yang besar.

“AEON Mall di Kota Bharu sendiri mencatatkan rekod jumlah aliran pembelian antara tertinggi di Malaysia dari 195 cawangan pusat beli-belah itu diseluruh negara,” katanya kepada media selepas Perasmian Kempen #SenangJer Tour AEON Bank (M) Berhad di Lembah Sireh di sini, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman merasmikan kempen itu. Beliau mewakili Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

Raja Teh Maimunah menambah, rakyat Kelantan hanya perlukan sedikit pendidikan bagi membolehkan mereka beralih kepada urusan pembelian atau perbankan secara digital sepenuhnya.

Beliau memberitahu, bulan Januari dan Febuari tahun hadapan pihaknya akan memperkenalkan kaedah bank digital pada usahawan bagi membolehkan mereka menyimpan kewangan masing-masing di AEON Bank.

Menurutnya, jika tidak berbuat demikian pihaknya tidak dapat membantu peniaga yang berhasrat untuk meminjam wang bagi meluaskan lagi perniagaan mereka kerana tiada bukti aliran wang tunai masuk dan keluar.

“Kami tidak boleh membantu peniaga yang berhasrat untuk meminjam kewangan dengan kami, jadi  amat rugilah jika perkara ini berterusan memandangkan peniaga tidak dapat meningkatkan lagi perniagaan masing-masing kerana modal yang terhad,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -