
PADANG BESAR: Perlis dipilih menjadi tuan rumah Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) ke-66 Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Jun di sekitar negeri ini.
Sambutan berkenaan juga diiadakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke-81 serta kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang giat dijalankan.
Pelbagai aktiviti menarik disusun untuk memeriahkan sambutan termasuk forum bertajuk ‘Whole Of Government Whole Of Society (WOGOS)’, majlis makan malam, pertandingan sukan antara rejimen serta sukan golf dan woodball.
Para tetamu juga berpeluang untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar negeri ini dan kemuncak sambutan adalah perbarisan yang akan diadakan di Kem Bukit Keteri pada pagi 29 Jun ini.
Dijangka lebih daripada 1,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Darat Malaysia, khususnya Askar Wataniah, akan berada di Perlis sepanjang tempoh tersebut.
Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, melahirkan rasa sukacita atas pemilihan Perlis sebagai tuan rumah sambutan kali ini.
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, berharap para tetamu yang hadir akan menikmati keunikan negeri Perlis, sekali gus membawa pulang kenangan manis.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kem Bukit Keteri di sini.
Dalam acara tersebut, sumbangan wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli dan beras fidyah telah disampaikan kepada para asnaf terpilih. – HARAKAHDAILY 13/6/2024











