Urus setinggan dengan perikemanusiaan dan berhemah

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Masalah setinggan yang sekian lama membelenggu Sabah perlu diurus dan diselesaikan dengan berperikemanusiaan dan berhemah.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Aliakbar Gulasan berkata, pihak berkuasa mesti hadir dengan penyelesaian tanpa menggunakan kekerasan terhadap koloni setinggan yang telah dikenal pasti di seluruh negeri.

Katanya, kewujudan setinggan yang dibina secara rawak tanpa kebenaran memberi kesan dari sudut penggunaan elektrik dan air, masalah kebakaran yang acap kali berlaku, struktur petempatan yang tidak teratur sekali gus mencemarkan persekitaran kawasan.

Tambahnya, berdasarkan data daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sabah, terdapat 24,000 rumah setinggan yang perlu diuruskan dengan baik dan sistematik.

“Koloni setinggan tidak boleh sewenang-wenangnya dihalau dan petempatan tidak boleh dirobohkan tanpa amaran. Sebarang perbincangan juga mesti dilakukan bersama wakil penduduk,” katanya yang juga ADUN Dilantik dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan undang-undang juga wajar digunakan tetapi mesti dilaksanakan dengan berperikemanusiaan yang tinggi serta penuh keadilan.

“Kerajaan harus membuat rancangan yang strategik dengan membina rumah tersusun, menyediakan tapak dan perkhidmatan.

“PAS Sabah yang menjunjung tinggi prinsip keadilan untuk semua menyeru pihak berkuasa supaya menyelesaikan isu ini tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan,” katanya.

Kata Aliakbar, Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang penah ditawarkan oleh PAS antara lainnya menggariskan pembangunan negara berasaskan prinsip kelestarian dan mapan.

“Selepas lebih 60 tahun Sabah merdeka, sudah sepatutnya isu ini dinoktahkan. Tiada golongan yang wajar tercicir dari nikmat kemakmuran tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -