Pelajar KIAS jalani latihan industri di Osaka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua pelajar tahun akhir pengajian Diploma Dakwah dengan Media Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menjalani latihan industri di Osaka, Jepun.

- Advertisement -

Amirah Hawadah Muhammad Amiri dan Siti Anith Roslan mengikuti latihan tersebut selama lapan minggu di Japan Da’wah Centre, Osaka bermula 3 Disember 2023 hingga 25 Januari 2024 lalu. (Foto atas)

Koordinator Program berkenaan Nursabila Ramli berkata, dua pelajar terbabit didedah pengalaman baru semasa mejalani latihan industri di Japan Da’wah Centre, Osaka.

“Pelajar terbabit didedah pelbagai pengalaman berkaitan cara kerja, budaya, tradisi dan pelbagai lagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, latihan industri terbabit turut mendapat kerjasama ibu bapa kedua-dua pelajar yang turut mengeluarkan perbelanjaan bagi menampung kos.

Katanya, KIAS mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program Diploma Dakwah dengan Media di KIAS, di mana pendaftaran pelajar baharu akan dibuka bermula 23 Jun ini.

Syaratnya lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya tiga kredit dan lulus mata pelajaran Bahasa Arab atau Pengajian Islam. Pelajar yang berminat boleh menghubungi talian 010-4507170 untuk mendapat maklumat lanjut.

Menurutnya, pogram Diploma Dakwah dengan Media diperkenalkan untuk membentuk kemahiran sosial kepada pelajar dalam bidang komunikasi dakwah.

Katanya, program itu digabung media dengan dakwah di mana pelajar turut didedah pengetahuan berkaitan Tiktok, Instagram atau radio.

Tambahnya, kursus tersebut memberi dua kemahiran berbeza supaya graduan mampu membina kerjaya dalam bidang media, di samping menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Di semester akhir pengajian pelajar akan menjalani latihan industri selama lapan minggu di mana-mana organisasi berkaitan bidang media.

“Melalui latihan industri pelajar akan mendapat pendedahan berkaitan dunia pekerjaan sebenar. Pelajar juga dapat membina rangkaian kerjaya dengan menonjolkan kemampuan dan bakat,” ujarnya.

Beliau juga berkata, program terbabit mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Manakala pembiayaan pengajian disediakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN). – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -