Kesan domino hapus subsidi diesel: Apa tindakan k’jaan?

- Advertisement -

AYER KEROH: Baru beberapa hari kerajaan menghapuskan subsidi diesel dengan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sudah banyak pengumuman kenaikan harga barang oleh para peniaga.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Peduli Buruh Wanita Malaysia (PEDULI), Kintan Man berkata, ia adalah kesan domino kepada pelaksanaan polisi tersebut yang menyaksikan banyak pihak tidak layak menerima subsidi diesel tersebut.

“Menurut Presiden Penanam Sayur Cameron Highland, Dato’ Chai Kok Lim, harga sayur terpaksa dinaikkan sekiranya berlaku kenaikan harga diesel kerana operasi ladang sayur memerlukan diesel untuk jentera dan kenderaan.

“Pesawah padi juga menghadapi nasib yang sama memandangkan operasi menanam padi juga menggunakan jentera beroperasi dengan bahan api diesel,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah Kintan, beras dan sayur adalah makanan ruji dan penting untuk rakyat bagi membina fizikal yang sihat dan  bertenaga.

Katanya lagi, kenderaan bagi pengangkutan sayur ke pasar-pasar borong juga menggunakan diesel di mana semua itu akan membina rantaian yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan pengkhidmatan.

Jelasnya, sudah tentu pihak yang akan menanggung akibat dan kesan daripada apa yang berlaku ini ialah pengguna iaitu rakyat keseluruhannya.

“PEDULI memandang serius isu ini. PEDULI mendesak pihak berwajib agar subsidi diesel diberikan tanpa melalui birokrasi demi kesejahteraan rakyat. Khasnya mereka yang terlibat secara langsung dan konsumer yang menerima kesan domino dari kenaikan harga bahan api diesel ini.

“Janganlah dikelabui mata rakyat dengan sumbangan BUDI Madani.
Sesungguhnya rakyat telah bijak menilai dengan pengiraan yang realiti dihadapi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -