
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah mengemukakan permohonan bagi mendapat kuota subsidi diesel pada awal Januari lepas kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, permohonan itu dibuat selepas pihaknya menjangka akan berlaku kenaikan harga diesel.
“Saya selaku Exco yang diamanah menjaga Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah menjangka kenaikan harga diesel,” katanya kepada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) hari ini.
Pada jam 12.01 pagi Isnin lepas harga diesel dinaikan kerajaan Madani sebanyak RM1.20 seliter kepada RM3.35 seliter berbanding harga asal RM2.15 sen.
Kenaikan sehingga 56 peratus mendapat kecaman pelbagai pihak kerana ia dibuat secara mendadak dan dalam jumlah besar.
Hilmi juga berkata, operasi pengurusan sampah dan pembersihan awam oleh PBT di setiap jajahan terpaksa menanggung kerugian mencecah RM44,640 berkaitan penyelenggaraan jentera dan pembelian alat ganti.
Menurutnya juga kenaikan harga diesel akan merencatkan program-program kebersihan di bawah agenda Kelantanku Bersih.
“Kita telah ajukan kepada menteri untuk pertimbangan sewajarnya kerana kerja pembersihan awam tidak berorientasikan keuntungan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024











